Hampir semua film seram dan hantu keluaran tempatan saya tonton sekali sahaja. Sebabnya ialah kerana tidak mencabar minda saya dan selalunya logiknya melampaui perkara yang lazim. Memang betul, bila kata cerita hantu tentulah berkenaan dengan perkara-perkara yang tidak pernah kita lihat. Namun ia mesti ada logiknya juga. Jika hantunya asyik menerpa mangsa, setiap lima minit ia bunuh orang, setiap lima minit ia mengamuk, pada saya itu sudah keterlaluan. Sebenarnya tak ada cerita. Hanya adegan menakut-nakutkan penonton! Itu sahaja.
Tidak dinafikan kisah hantu adalah kisah khayalan dan oleh kerana hantu tu makhluk yang supernatural memang sepatutnya mereka berkelakuan supernatural juga. Itu betul, namun begitu cerita itu mesti berpijak di bumi nyata. Yang paling saya tidak boleh terima jika hantunya hebat sangat, dan asyik membunuh orang sahaja kerjanya! Sekejap-sekejap bunuh! Sekejap-sekejap bunuh! Tiada siapa boleh menghalangnya! Itu dah masuk bab tak masuk akal lagilah tu! Ceritanya jadi tidak sedap lagi. Kalau cdnya anak-anak saya buangkan pun saya tak rasa kesal.
Sebenarnya jalan cerita hantu yang terdapat dalam pasaran bergantung pada kaum atau bangsa yang merekanya. Kaum atau bangsa ini pula dipengaruhi oleh agama yang mereka anuti. Jadi, kekuatan atau kelemahan hantu-hantu dalam wayang itu adalah kepercayaan kaum si penulis skrip dan pengarahnya. Tetapi di Malaysia, oleh sebab kepelbagaian kaum dan bangsa yang hidup di negara ini dan dengan sebab banyaknya cerita-cerita dari barat, China dan India lalu penulis-penulis dan pengarah-pengarah Melayu telah terpengaruh dengan idea luar itu. Lalu banyaklah kita dapat tonton cerita-cerita hantu Melayu sama seperti yang dipertontonkan oleh wayang-wayang dari luar itu! Di sinilah kita dapati hantu-hantu yang ganas dan kebal yang memudarkan minat kita untuk mengulangi menontonnya walaupun di akhir cerita hantunya kalah juga.
Sekarang kita lihat pada HKLBR. Jalan ceritanya mudah tetapi kita tertipu sehingga ke akhir cerita! Begitu hebat si penulis dan si pengarah mengadunkan jalan ceritanya sehingga kita terkelu apabila tiba di hujung cerita. Wayang HKLBR ni saya memang cukup terhibur. Memang ceritanya cerita seram tetapi seram yang menghiburkan. Saya ucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat di dalam pembikinan filem itu. Dari awal sehingga ke akhir ceritanya sangat-sangat menggelikan hati! Setanding dengan cerita-cerita P. Ramlee yang bagus-bagus itu. Memang ada kecacatan tetapi teramat sedikit. Tak jemu-jemu menontonnya. Dah 10 kali saya tonton namun setiap kali menonton saya akan tetap ketawa terbahak-bahak. Masalah besar saya ni pula ialah saya ada athma. Bila ketawa besar semput pun datang. Tapi inhaler ada di tangan, bila semput, sedut aje.
Saya ingin kupas dari satu babak ke satu babak cerita HKLBR ni kerana saya ada terbaca di dalam Facebook ada orang yang tak faham mengapa cerita HKLBR ni dipuji ramai. Kesian saya membaca kecacatan yang dialami oleh sebahagian dari kita. Moga-moga setelah dikupas cerita itu, mungkin mereka tercelik dan dapat menikmati keindahan cerita HKLBR itu.
(Akan disambung)