Friday, May 6, 2011

Cerita-cerita Seram Tempatan Di Tv dan Panggung Wayang

Akhir-akhir ini saban hari penonton-penonton tv di Malaysia disogokkan dengan cerita-cerita seram atau kata budak-budak, cerita hantu! Kalau tidak Tv1, Tv2 yang siarkan. Kalau tidak Tv2, Tv3 yang siarkan. Kalau tidak stesyen-stesyen itu, Tv4, Tv7, Tv8 atau Tv9 yang siarkan. Kalau ada Astro, ada saja channel tvnya yang sedang menyiarkan cerita seram itu.  Cerita-ceritanya ada yang agak seram dan tidak kurang juga yang menggelikan hati dan susah hendak diikuti logiknya.

Tidak kurang pula panggung-panggung wayang turut menayangkan filem-filem seram hasil ciptaan intelek tempatan.  Lepas satu, satu penerbitan menghasilkan ciptaan mereka dan ditayangkan di panggung-panggung.

Saya tidaklah hendak pergi secara mendalam tentang cerita-ceritanya itu.  Yang saya hendak sentuh ialah tentang rungutan beberapa pihak tentang siaran cerita-cerita seperti itu sehinggakan ada yang mencadangkan agar cerita-cerita seram seperti itu diharamkan dari disiarkan di udara atau di panggung wayang!

Tapi yang kurang enaknya mengenai rungutan-rungutan ini ialah ia ditujukan hanya kepada produksi-produksi tempatan.  Filem-filem impot dari serata dunia tidak disentuh pula.  Seolah-olah cerita seram tempatan akan mempengaruhi pemikiran orang-orang Islam tempatan sementara filem-filem impot tidak memberi kesan.  Begitulah yang dapat saya fahamkan.

Pada pandangan saya kita tidak perlu bertindak drastik begitu dan tidak berat sebelah.  Yang utama, pihak yang berwajib perlu memastikan bahawa semua produksi tempatan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.  Yang gagal mencapai tahap kelulusan yang telah ditetapkan, lesen tidak diberi dan dengan itu ia tidak boleh ditayangkan.  Mudah sahaja.

Tidak perlu kita merasa bimbang bahawa cerita-cerita seperti itu akan memesongkan aqidah orang Islam atau sebagainya.  Setakat ini apa yang ditayangkan tidak memaparkan secara jelas apa mentera yang dibaca.  Setakat "Hei Mambang Tanah, Mambang Air, Mambang Batu..." dan sebagainya, apa kesan yang boleh mempengaruhi pemikiran orang-orang Islam walaupun budak kecil.  Mereka akan mengajuk dialog-dialog itu dengan gelak-gelak dan main-main.

Kalau dibimbangi wajah-wajah hantunya agak menakutkan, kita sepatutnya memberi tahniah kepada juru mekap atau juru solek yang telah berhasil melaksanakan tugas mereka dengan sangat baik.  Begitu juga dengan penata cahaya, juru kamera dan pengarahnya.  Mereka semua sudah ada 'class', bukan lagi amateur!

Jalan ceritanya juga nampaknya sudah matang, iaitu ceritanya tidak terlalu susah hendak difahami; ceritanya tersusun dan boleh diterima oleh logik penonton.  Pendek kata kita tidak ditinggalkan dengan terlalu banyak soalan selepas selesai menonton cerita itu.  Kita tidak ralat dengan "Mengapa hero tidak buat begitu; mengapa dia buat begini?"  Bila terlalu banyak "mengapa" cerita itu tergantung, gagal menyampaikan 'message'nya dan tidak menjadi hiburan lagi.  Begitulah yang dirasakan yang membuatkan kita tidak ingin menontonnya lagi.  Lebih-lebih lagi apabila penonton merasa sepatutnya satu-satu plot cerita itu tidak diheret terlalu lama sedangkan sepatutnya awal-awal lagi punca penyelesaian sudah ada.  Lebih-lebih lagi jika watak-watak penting gugur disebabkan oleh plot yang tidak jelas!  Ini akan mengecewakan penonton dan filem itu tidak akan ditonton lagi!

Paling saya tidak gemar bila hantu jembalangnya terlalu kebal.  Saya percaya manusia mempunyai kekuatan dan ketabahan yang lebih tinggi dari hantu-hantu jembalang itu.  Tambahan pula bila manusi itu seorang yang alim, warak, cekal dan tinggi ilmu agamanya.  Saya tidak percaya orang yang seperti itu boleh kalah kepada hantu jembalang.  Jadi jika plot ceritanya menjurus ke arah itu, logik saya tidak dapat menerimanya!

(Akan disambung lagi...)

No comments:

Post a Comment