Menerbangkan sesebuah kapal terbang bukanlah mudah. Tidak seperti memandu kereta atau motorsikal yang mana jika berlaku masalah pada enjin atau sistem kemudinya mesin itu boleh diberhentikan dengan segera dan diperbaiki di tepi jalan. Kerosakan-kerosakan itu boleh diperbaiki oleh pomen-pomen yang tidak bersekolah pun. Memang tidak ada masalah langsung.
Tetapi berbeza dengan menyediakan sebuah kapal terbang dan menerbangkannya. Perlu amat berhati-hati. Yang paling utama enjin kapal terbang tidak boleh mati semasa dalam penerbangan! Bila enjinnya mati, pada masa itu juga ia kapal terbang itu mula turun. Ia tidak akan naik-naik lagi; jalannya hanya ke bawah! Dalam tempoh satu atau dua minit juruterbang mesti mendapatkan kawasan untuk mendarat. Jika ia berada di atas lapangan terbang pun, arah ia terbang dan ketinggiannya dari aras lapangan terbang itu akan menentukan selamat atau tidaknya kapal terbang itu. Pendek kata, mati sahaja enjinnya, juruterbang serta merta menghadapi krisis yang teruk. Tumpuannya hanya kepada cuba mendaratkan kapal terbangnya dengan selamat. Dia ada masa cuma satu atau dua minit sahaja! Begitulah gentingnya nasib sesebuah kapal terbang apabila enjinnnya mati. Maka dengan itu amat penting prestasi enjin dirawat serapi-rapinya sebelum sesuatu penerbangan itu dimulakan!
Perkara kedua ialah tentang sistem kawalan penerbangan. Bahagian ini terdapat sekurang-kurangnya tiga, iaitu sepasang di sayap, sepasang di ekor mendatar dan satu lagi di bahagian kemudinya. Dalam bahasa Inggeris bahagian yang mengawal kestabilan mereng kiri-kanan kapal terbang itu terletak di hujung sayap kanan dan kiri yang dipanggil 'aileron'. Kemudian bahagian yang menonggeng dan mendongakkan kapal terbang itu terletak di ekor yang mendatar, dipanggil 'stabilizer'.
Perkara yang ketiga ialah bahagian yang mengawal arah tuju kapal terbang itu yang terletak di ekor tegaknya itu. Ia dipanggil 'rudder'. Dengan menggunakan rudder ini juruterbang boleh menuju ke mana sahaja yang diingininya. Dengan ketiga-tiga bahagian kawalan ini sesebuah kapalterbang itu boleh terbang dengan stabil dan selamat. Dengan enjin yang baik dan bahanapi yang bermutu sesebuah kapalterbang itu boleh diterbangkan cukup lama dan menyeronokkan. Tetapi jika salah satu dari bahagian kawalan atau enjin itu tidak boleh berfungsi dengan baik lagi, kapalterbang itu menghadapi saat-saat yang mencemaskan. Berkemungkinan ia akan berkecai mula menjadi kenyataan. Inilah saat-saat yang tidak mahu difikirkan oleh juruterbang. Tetapi apabila ia muncul, hendak tak hendak, terpaksalah dihadapi dengan sebaik yang mungkin.
Suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan dari berjaya atau tidaknya sesuatu penerbangan itu dilakukan ialah tentang tahap kemahiran si juruterbang itu sendiri. Jika dia sudah mahir maka setiap penerbangan akan selamat dari mula sehingga kapalterbang itu kembali mendarat. Tetapi jika juruterbang tidak mahir maka kemungkinan penerbangan itu akan berakhir dengan kemusnahan adalah besar sekali. Dengan itu seseorang juruterbang hendaklah cuba memahirkan dirinya secepat yang mungkin. Dia perlu berlatih setiap hari dan belajar dari juruterbang-juruterbang yang sudah mahir. Jika ada kelab penerbangan eloklah setiap juruterbang menyertainya. Di sini juru-juruterbang selalu bertemu dan berbincang. Juruterbang lama boleh menunjukajar kepada juruterbang baru. Ini akan memeriahkan lagi pertemuan kelab penerbangan ini.
No comments:
Post a Comment