Dalam memberi komen suatu berita yang telah dikeluarkan di dalam blog Biaqpila: GADIS BAWA BALIK TEMAN TIDUR KANTOI saya telah menulis begini:
Seronok membaca kesah malang gadis ini kan? Apakah sepatutnya reaksi kita? Nak cemuh dia? Nak kutuk? Nak diseranahkankah dia? Apa lagi kita nak buat? Bila dah dikutuk habis-habisan dirinya itu, apakah yang kita rasa? Puas? Puas apa? Puas hati? Puas sebab sudah menjalankan tanggungjawab? Atau puas sebab dapat membaca cerita panas? Dapat memuaskan nafsu sendiri kerana memang sukakan cerita-cerita yang semacam itu. Malah kalau tidak keluar cerita ini di blog ini pun anda pasti mencarinya di dalam blog-blog lain, Facebook, atau beribu-ribu lagi pautan yang mengalirkan cerita ini!
Sebenarnya anda mengutuk dan menghina orang kerana hendak menutup rasa hina pada diri sendiri. Perangai kita ni sama saja dengan perangai gadis yang diceritakan itu. Si gadis melakukan perbuatan itu. Kita yang tumpang baca, tumpang dengar malah ada yang bertuah dapat tumpang tengok lak lagi, akan mendapat dosanya juga. Islam dah kata jangan buka aib orang tapi kita dok besar-besarkan lagi cerita-cerita macam ini. Kalau kita berakal dan panjang pula akal kita, kita tentu tak siarkan cerita ini. Tujuan Islam mengenakan larangan ini kerana sudah jelas ia akan memporak-perandakan lagi kehidupan ummat!
Janganlah kata dengan menyiarkan cerita ini ia akan memberi kesedaran kepada orang lain. Kalau begitulah tujuannya, kita jangan sebut nama orangnya, jangan sebut nama kampungnya, jangan sebut nama negerinya. Pendek kata, jangan ada rujukan yang membolehkan orang lain yang tidak berkenaan menjejak si pelaku dan kampung halamannya.
Jelas sekali bila orang tahu nama si pelaku, orang akan tahu dia anak siapa, siapa adik beradiknya, siapa datuk nenek dan saudara maranya! Baguskah itu? Islam tidak sekali-kali mahu perkara ini berlaku. Bila nama kampung pula disebut, satu kampung akan tebal muka. Orang-orang yang tidak ada kena mengena dalam hal itu pun akan turut merasa malu kerana orang-orang yang suka mentertawakan nasib malang orang akan mendapat hiburan kelas pertama bila mendapat berita ini! Begitulah sekali hitamnya hati manusia yang menyebabkan Allah menurunkan agama Islam. Namun ramai yang mengaku Islam tetapi berkelakuan sebaliknya!
Ustaz-ustaz yang bijaksana bila mahu menceritakan semula kisah seperti ini kepada makmum-makmun di masjid-masjid atau surau-surau sebagai tauladan dan sempadan akan menapis sendiri cerita itu. Mereka hanya menyebut "...pernah terjadi di suatu masa..." Tidak perlu sebut nama, sebut kampung atau apa-apa reference. Memadailah itu. Jika ada yang teringin tahu lebih jauh, ingatlah, itu adalah bisikan syaitan supaya dapat memporakperandakan kehidupan dan amalan anak cucu nabi Adam!
Jika kita prihatin dan sama susah hati dengan masalah moral anak-anak muslimin dan muslimat di negara kita ini kita janganlah menambahparahkan keadaan. Dengan menyebarkan berita ini, siap dengan gambarnya sekali bukanlah langkah yang bijak. Cuba fikir panjang-panjang dan timbangkan masak-masak wajar atau tidaknya cerita ini disebarkan. Yang paling menyedihkan anggota pihak berkuasa yang mengambil bahagian dalam penangkapan itu memanaskan cerita lagi dengan memberi maklumat konon dapat rampas seluar dalam sekali!
Sedih betul bila saya membaca kesah ini. Baik yang buat maksiat, yang menangkapnya, yang menyebarnya dan yang membacanya termasuk saya semuanya mendapat habuan! Bak kata bidalan Melayu, "Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit." Kita tak boleh kata kalau kita mengutuk perlakuan budak itu maka kita sudah melakukan tanggungjawab Islam kita. Itu hanya secebis dari perkara yang kita boleh buat. Perkara yang lebih besar lagi kita masih gagal melaksanakannya. Terlalu banyak yang kita telah gagal laksanakan. Gadis itu hanya menjadi mangsa disebabkan oleh kegagalan kita. Tetapi oleh kerana kita memang jenis yang tidak akan mengaku akan kelemahan kita, tidak mahu bertanggungjawab maka kita alihkan kesalahan itu kepada gadis dan pasangannya itu sahaja. Maka kita rasa kita sudah dapat melepaskan diri!
Beginilah nasib kita umat Islam di waktu ini. Malang semalang-malangnya! Oleh itu hairankah kita di zaman serba canggih dan maju ini, di mana peluang menyebarkan syiar Islam dan menunjukkan kehebatan Islam terbuka luas tetapi tidak ramai orang memeluk Islam? Orang-orang Islam yang ada inilah orang-orang Islam turun temurun, bukan Malah ramai yang memaki hamun, menghina dan menghitamkan Islam dan umatnya? Di manakah salahnya? Tidakkah kita telah sama-sama berdosa kerana sama-sama menjadi penyebab mengapa orang-orang kafir tidak berminat mendekati Islam? Mereka tak nampak hebatnya Islam (melalui cara kehidupan orang-orang Islam). Kerana kita yang membuatkan mereka tawar hati dan mentertawakan Islam dan penganut-penganutnya!
Umat Islam pernah cemerlang di suatu masa dahulu. Mengapa? Kerana khalifah-khalifahnya bijak dan cerdik. Alim ulama'nya betul-betul menghayati Islam. Tetapi sekarang, Islam kita cetek sekali. Kita sendiri tidak mengenali Islam. Kita ikut rasa sahaja, bukan apa yang diajarkan di dalam al-Qur'an atau hadis nabi. Akibatnya, macam sekaranglah. Kita menjadi rakyat kelas kedua di tanah air sendiri. Kita sedarkah atau tidak tentang kenyataan ini? Kita hanya boleh bermegah kerana kita ramai, ada sultan, ada raja, ada menteri besar, ada ketua menteri dan sebagainya. Tapi dari segi ekonomi, dari segi kualiti hidup, malah dari segi kerohanian pun kita belum boleh berbangga. Tidakkah kita berasa ngilu apabila membaca kisah-kisah ngeri di muka-muka hadapan akhbar utama negara tentang perkara-perkara yang dahsyat-dahsyat yang berlaku saban hari di negara ini? Siapakah pelakunya kalau bukan orang-orang Islam sendiri! (Tetapi bila sudah sampai pada had jenayah berat seperti ini, ia tidaklah boleh lagi disorok!)
Di dalam kisah ini, saya rasa bukan gadis dan teman lelakinya sahaja yang bersalah tetapi semua orang Islam bersalah! Malah dalam kes-kes yang serupa ini, kita semua sebenarnya bersalah! Tetapi secara tak langsung. Memang ramai dari kita tidak menyukai maksiat seperti itu berlaku. Kita sedar perkara itu berdosa. Tetapi memadaikah kita hanya membenci dan mencemuh? Sedangkan perkara ini sudah menular begitu teruk sekali! Ada cara untuk membendungnya dan kita boleh buat tetapi kita tidak buat!
No comments:
Post a Comment