Sunday, July 3, 2011

Untuk Orang-orang Islam - Menguatkan Iman Dan Kesedaran

Bagi seorang mukmin yang sebenar, keinginan hidup tenang di dunia dan mengidamkan tempat yang selamat di akhirat memanglah menjadi matlamat kehidupan mereka. Untuk menuju ke arah ini kekuatan iman mereka adalah amat penting.

Tetapi di zaman ini cabaran terhadap kekuatan iman ini amat besar. Mukmin diasak dari semua sudut untuk melemahkan iman mereka. Bukan sahaja ancaman dari musuh Islam sahaja tetapi ancaman juga datang dari orang-orang yang mengaku penganut Islam. Selain dari itu terdapat pula orang-orang Islam yang agak jahil atau tidak kisah yang mengamalkan ajaran Islam secara sambil lewa sahaja dan mahukan orang Islam lain mengikut cara mereka.

Ini semua memberi tekanan yang amat hebat terhadap individu Islam yang amat menekankan keluhuran Islam di dalam kehidupan sehariannya. Selalunya keadaan ini menghasilkan konflik; dengan orang di sekeliling, sahabat handai, bahkan ahli keluarga dan kerap juga di dalam diri mereka sendiri. Memang berat dugaan yang dihadapi oleh mukmin yang benar-benar ingin hidup di dalam lingkungan keredhaan Allah.

Namun begitu nasib orang-orang mukmin masih lagi amat baik kerana di dalam 'turmoil' yang dihadapi oleh mukmin bersih ini, terdapat insan-insan yang amat kuat semangat mereka. Mereka berjuang mempertahankan kebenaran Islam berpuluh-puluh tahun lamanya. Sekarang dengan segala ilmu dan pengalaman yang ada, mereka telah keluar menyerang balik pendapat-pendapat yang mencelarukan kefahaman Islam orang-orang yang lemah iman mereka. Akibatnya sekarang terutamanya di Eropah, orang Islam telah mendapat kekuatan baru bagi menghadapi kehidupan yang amat bebas yang amat mencabar orang-orang mukmin di sana. Bahkan orang-orang Kristian dan Yahudi yang sebenar, yang kuat iman juga telah mendekati pergerakan saudara-saudara Islam ini kerana mereka tidak memusuhi penganut-penganut agama itu. Malahan mereka mempertahankan saudara-saudara al-Kitab itu. Dengan ini pergerakan Islam itu telah menjadi semakin popular dan bertambah berkembang. Ini semua menguntungkan orang-orang Islam dan juga orang Kristian dan Yahudi iaitu ahli al-Kitab.

Di sebaliknya musuh-musuh Islam sudah semakin lemas, golongan Darwin, atheis, scientology, bebas dan sebagainya semakin lemas dan terdesak. Mereka telah menyerang pejuang-pejuang Islam ini dengan berbagai gelaran dan cemuhan yang kebanyakannya bersifat amatur dan kebudak-budakan. Sebenarnya mereka tidak ada hujah untuk digunakan bagi menyerang pergerakan Islam itu tetapi dek hitamnya hati mereka, mereka gunakan apa sahaja perkataan yang mereka rasa amat berkesan untuk menjatuhkan pergerakan ini padahal bila kita membacanya nyata sekali mereka amat terdesak dan ketakutan. Kumpulan mereka semakin mengecil. Kalau dulu mereka gelak-gelak dan mengutuk habis akan Islam dan penganutnya, sekarang keadaan sudah terbalik, mereka pula terhimpit dan terpaksa mempertahankan diri dengan apa sahaja cara dan keupayaan. Tapi jelas sekali, walau apa sahaja hujah yang mereka keluarkan tetapi yang nyata semuanya sudah tidak boleh digunakan lagi, sudah tidak relevan. Dengan kemajuan sains, dengan banyak penemuan sejarah, arkeologi, hidupan purba dan sebagainya yang ditemui maka semakin terserlah kebenaran fakta yang tercatit dalam al-Qur'an. Puak-puak yang memusuhi Islam semakin tidak ada peluru lagi untuk ditembakkan ke arah Islam. Orang-orang yang dahulunya terpengaruh dengan omongan mereka sekarang beransur-ansur meninggalkan mereka. Mereka terpekik-pekik di dalam gua mereka tetapi tidak ada siapa lagi yang tertarik dengan dongengan mereka. "Ramai orang boleh ditipu dalam satu-satu masa tetapi tidak ramai yang boleh ditipu sepanjang masa!" Begitulah lebih kurang falsafah yang selalu diutarakan oleh cerdik pandai mengenai keadaan yang seperti ini.

Jadi, pekerjaan saudara-saudara Islam kita ini, yang 'dedicate'kan kehidupan mereka hanya untuk menegakkan syi'ar Islam adalah amat baik sekali dan kita sebagai mukmin yang perihatin patut menyanjung dan membantu tugas mereka itu. Musuh-musuh Islam memang tidak senang hidup bila melihat kebangkitan pasukan ini yang mempertahankan Islam dan agama-agama Allah yang lain dan disamping itu mereka membogelkan dakyah buruk, busuk dan bohong dari pihak-pihak yang benci sangat dengan Islam itu.

Kita tidak perlu melenting dan bertindak melulu untuk melepaskan geram terhadap puak-puak yang memusuhi Islam dengan secara yang kebudak-budakan atau biadap. Kita kena mempertahankan Islam dengan cara Islam! Seperti mana cara nabi besar junjungan kita berhadapan dengan puak-puak yang belum mengenali Islam. Sebelum didakwah oleh nabi mereka amat keras dan angkuh menolak Islam. Tetapi bila sudah didedahkan kepada kebenaran Islam, mereka terus memeluknya. Orang Islam berperang hanya untuk mempertahankan diri dan harta bendanya. Nabi tidak pernah menghantarkan bala tentera untuk saja-saja menakluk sesuatu kaum atau negara. Baginda menghantar utusan dan menjemput pemerintah tempat-tempat itu untuk menerima Islam atau membenarkan pendakwah Islam berdakwah. Itu sahaja. Tetapi bila pendakwah-pendakwah itu disakiti atau dibunuh dengan kejam, barulah baginda menghantar tentera Islam untuk menyelamatkan orang-orang Islam yang masih ada daan menegakkkan keadilan. Itu sahaja.

Kita anggaplah mereka-mereka yang mencemuh Islam itu sebagai orang-orang yang masih belum bertemu Islam dan cahaya kebenaran. Kita kasihani mereka. Mereka selama ini hanya mendengar tentang Islam dari jauh, sayup-sayup sahaja - banyak dari fakta yang benar hilang dalam hembusan angin, mereka mengenali Islam melalui orang-orang yang sengaja memfitnah Islam dan dengan memerhati tingkah laku orang Islam yang sudah terpesong dari ajaran Islam. Jika mereka ini kita dekati dengan roh Islam yang sebenarnya, secara profesional, lengkap dengan fakta dan bukti-bukti yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan lagi, secara rasional, secara terhormat, secara tenang dan sabar, dengan ucapan-ucapan yang sedap dan manis didengar, berkemungkinan besar mereka-mereka itu akan menerima Islam dengan amat bersyukur sekali. Kesalahan akan jatuh ke atas bahu kita jika tindak tanduk kita membuatkan mereka jelik dengan Islam, menjauhkan diri dari Islam dan menjadi musuh Islam pula.

Kita ambil contoh nabi junjungan kita yang tidak jemu-jemu berdakwah dan menjelaskan tentang kebenaran Islam kepada umat yang belum tertarik, belum memahami dan masih berpandangan negatif terhadap Islam sehinggalah akhirnya mereka tertarik dan memeluk Islam dengan rela walaupun masih terdapat segelintir kecil yang memang gelap hati mereka yang langsung tidak mahu menerima Islam. Kita kena terimalah nasib mereka yang seperti ini dan serahkan segala rahsia kedegilan mereka itu kepada Allah. Tidak usah kita memandai-mandai menuduh mereka dengan berbagai panggilan atau gelaran yang menyakitkan hati. Tidak perlu malahan ia boleh dianggap berdosa kerana mereka adalah makhluk Allah juga dan Allahlah yang telah menjadikan kehidpan mereka seperti itu. Bahkan perbuatan kita menghina mereka akan membuatkan mereka lebih benci dan memusuhi Islam dan menghina Allah! Ini semua tidak dibenarkan oleh Allah!

Kalau perlu dilaknati mereka hanyalah Allah sahaja yang berhak. Seperti mana kita bila menikmati makanan; jika sedap kita bersyukur; jika tak sedap kita bersyukurlah juga. Jangan pula kita menghina kerana rezeki itu semua datangnya dari Allah, baik sedap mahupun yang tidak sedap! Allah yang menghendaki kita merasai makanan itu maka siapakah kita hendak memperkecilkan rezeki dari Allah itu? Boleh kita dapat rezeki dari pihak lain? So, sedarlah diri kita iaitu hambaNya yang amat lemah sekali ini! Kita bersyukurlah dengan segala nikmat yang telah dilimpahi oleh Ilahi selama ini dan bersedih dengan nasib yang dilalui oleh mereka-mereka yang belum lagi menemui Islam. Alangkah malangnya nasib mereka kerana walau kaya mana pun mereka dan tinggi mana pun kedudukan mereka namun di akhirat nanti, mereka akan diseksa! Segala harta, nama, pangkat dan kuasa tidak lagi bersama mereka. Bayangkanlah... 

Salah satu laman web saudara Islam kita yang patut kita layari ialah laman web Harun Yahya. Ini alamatnya: http://www.evolutiondeceit.com/ . Laman web ini dikendalikan oleh Adnan Oktar dan pasukannya yang berpengkalan di Turki. Sangat banyak yang telah dihasilkan oleh mereka untuk faedah penganut Islam, Kristian, Yahudi dan penganut-penganut agama al-Kitab. Silalah layarinya untuk menambah pengetahuan, menguatkan iman dan mematahkan hujah-hujah musuh Islam. Moga-moga cahaya Islam bersinar ke seluruh pelusuk alam. Dan kita mohonlah sangat-sangat dari Allah agar kita tidak pula terpesong dan tersilap langkah lalu terlepas peluang mendapat tempat yang diidam-idamkan di akhirat nanti. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment